SHARUL KAMAL NAFI KERJAYA NYANYIAN PERLAHAN

Diposting pada

MENDAPAT peluang sebagai pengacara dalam program kembara berjudul Travelog Backpakers ke Balkan tidak bermakna penyanyi Sharul Kamal akan serius dalam bidang tersebut.

Sebaliknya bekas peserta Akademi Fantasia 2015 ini hanya menganggap sebagai percubaan cabang baharu dunia seni.

“Sebenarnya saya tidak fikir untuk serius sebagai pengacara kerana masih aktif menyanyi dan minat saya lebih kepada bidang muzik termasuk mencipta lagu.

“Saya anggap ini sebagai satu percubaan. Ini adalah kali pertama saya menjadi pengacara. Memang ada perasaan gementar kerana takut tidak boleh buat apa yang pengarah mahukan.

“Saya banyak melihat cara pengacara lain seperti Zizan Razak mengendalikan program. Dalam masa sama saya juga membuat sedikit research tentang tempat-tempat yang akan dilawati.

Pemilik nama penuh Muhammad Shahrul Amin Kamarozamn ini juga menafikan kerjaya nyanyian kini semakin perlahan sehingga dia terpaksa menerima tawaran sebagai pengacara.

“Saya tidak pernah berhenti menyanyi dan saya tidak pernah rancang untuk perlahankan aktiviti pentas.

“Apabila ditawarkan menjadi pengacara, saya turut menghadiri sesi uji bakat. Menurut pihak produksi, mereka suka sikap saya yang ramah, periang serta rancangan ini sesuai dengan usia muda saya,” ujar Sharul.

Rancangan tersebut akan menjelajah ke lapan buah negara Balkan dan akan memulakan penggambaran pada 4 September depan. Ia mendapat penajaan dari Kembara Sufi Travel & Tour dan akan disiarkan di saluran TVi tahun hadapan.

Sharul bersama pihak Kembara Sufi. GAMBAR: NOOR AZLINA JAAFR (UTUSAN)

Bercakap soal kerjaya, Sharul kini dalam proses menyiapkan lagu baharu berjudul Racun Cinta. Lagu tersebut mendapat sentuhan sepenuhnya penyanyi dan komposer Aepul Roza.

sumber berita malaysia