Mr. Bean Bakal Jadi Bapa Lagi Pada Usia 62 Tahun

Diposting pada

LONDON – Pelakon watak komedi terkenal Mr. Bean iaitu Rowan Atkinson, bakal menjadi bapa buat kali ketiga pada usia 62 tahun, lapor media Britain pada Ahad.

Menurut portal tempatan Astro Awani, pasangannya yang belum lagi dikahwini secara rasmi, Louise Ford, dan juga merupakan seorang pelakon, dilaporkan bakal melahirkan bayi mereka dalam beberapa minggu lagi.

Ford mula mengenali Atkinson ketika mereka berdua secara kebetulan pula terlibat dalam satu pementasan teater di West End dekat sini pada 2012 lalu ketika aktor tersebut masih lagi berstatus sebagai suami orang.

Atkinson bagaimanapun bercerai dengan isterinya Sunetra Sastry pada 2014, dan mula keluar bersama Ford yang berusia 33 tahun itu secara serius beberapa minggu selepas itu, menurut laporan Astro Awani.

Menurut sumber rapat dengan pelakon tersebut seperti yang dipetik dalam laporan The Mirror, Atkinson sudah berasa tidak sabar untuk menyambut kelahiran orang baharu dalam hidupnya.

“Sudah lama dia (Atkinson) tidak merasai perasaan sedemikian. Sekali lagi menjadi bapa selepas bertahun-tahun, tentu dia sangat teruja,” kata sumber berkenaan yang dipetik MediaCorp Singapura.

Bersama bekas isterinya yang dikahwini pada 1990 lalu, Atkinson memiliki dua orang anak, Ben, 23, dan Lily, 21. Mereka kali pertama bertemu pada 1980-an ketika Sastry bertugas sebagai jurusolek artis di stesen BBC.

Sebelum ini, hubungan Atkinson dengan anak-anaknya, terutama Lily, dilaporkan tegang selepas beliau dikatakan tidak merestui kerjaya anak perempuannya itu sebagai penari burlesque. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

sumber berita malaysia