Bakat Baharu Hiasi Pentas Anugerah Juara Lagu 32

Diposting pada

SETELAH tiga minggu peringkat separuh akhir Muzik Muzik 32 berlangsung, akhirnya teka-teki 12 lagu yang layak ke pentas final Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) sudah pun terjawab.

Menariknya, lagu-lagu yang terpilih itu bukan sahaja sering kali diputarkan di corong-corong radio, malah ia karya dan nyanyian daripada bakat baharu yang mula dikenali.

Komposer Ajai memberikan saingan apabila dua karyanya iaitu Separuh Matiku Bercinta nyanyian Dayang Nurfaizah dan Akhiri Cinta daripada Salma mendapat tempat ke pentas berprestij itu.

Bakat baharu, Syamel turut tidak ketinggalan apabila dua lagu nyanyiannya iaitu Lebih Sempurna serta nyanyian duet bersama Ernie Zakri menerusi lagu Aku Cinta turut layak ke AJL.

Lapan lagu lain yang dipilih juri profesional ialah Tergantung Sepi daripada Haqiem Rusli, Jampi nyanyian Hael Husaini, Faizal Tahir & Caliph Buskers dengan lagu Sejati serta Amboi daripada Altimet.

Hazama antara nama yang pernah mewarnai pentas AJL sekali lagi layak ke AJL dengan lagu Aku Yang Sebenar.

Tiga lagi bakat baharu yang pertama kali bertanding dalam Muzik-Muzik ialah Wany Hasrita dengan lagu Menahan Rindu, Bayang nyanyian Khai Bahar dan Warkah Untukku dendangan Ara.

12 lagu yang layak berentap di pentas AJL32 ini diadili oleh juri profesional, seperti AG (Coco), Azmeer, Edrie Hashim, Helen Yap, LY, Pak Ngah serta diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail.

Persembahan separuh akhir yang berlangsung selama tiga minggu berturut-turut dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Hefny Sahad.

Tahniah dan all the best diucapkan kepada kesemua peserta yang bakal merebut gelaran Juara Lagu 32 pada Februari depan! – MYNEWHSUB.CC/SA

sumber berita malaysia