Kena Marah Di DAA3, Baby Shima Tak Salah Mas Idayu

Diposting pada

BARU-BARU ini tular satu rakaman video memaparkan seorang penyanyi yang memarahi seorang peserta di pentas menerusi program realiti nyanyian D’Academy Asia 3 (DAA3).

Mas Idayu yang popular dengan lagu dangdutnya dikatakan telah memarahi Baby Shima sesudah membuat persembahan pada malam tersebut.

Khabarnya, Mas Idayu atau lebih mesra dengan panggilan Mummy kecewa dengan persembahan vokal yang ditunjukkan peserta itu.

“Apa Shima buat malam ini? Mummy dengar, masuk pitching jahanam semua,” komen Mas Idayu dengan nada tegas.

Ekoran tularnya video tersebut, rata-rata netizen kurang bersetuju dengan Mas Idayu yang juga salah seorang komentator program tersebut.

Netizen juga menganggap tindakannya itu seolah-olah memalukan nama Malaysia.

Ini kerana program tersebut diadakan di Indonesia manakala peserta yang menyertai datang dari pelbagai negara Asia lain antaranya Indonesia, Singapura dan Timor Leste.

Namun, Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli tampil memberikan penjelasan dan meminta netizen tidak melemparkan kata-kata yang kurang enak didengar kepada Mas Idayu.

“Bagi saya, Mummy Mas Idayu marah dan komen macam itu sebab dia sayang saya. Memang patut pun saya kena marah.

“Saya tak ada masalah dan terima segala teguran. Saya harap netizen jangan salahkan Mas Idayu.

“Saya yang bersalah sebab tak ikut apa yang sudah diajarnya,” katanya dipetik mStar Online.

Tambah Shima lagi, tekanan yang dihadapinya menjadi punca dia tidak dapat melakukan persembahan dengan baik selain lagu-lagu dangdut yang didendangkan tidak pernah didengarinya.

“Saya tak dapat buat yang terbaik pada setiap persembahan. Ingatkan pertandingan ini boleh bawa lagu moden seperti di Malaysia.

“Tapi saya perlu menyanyikan lagu dangdut yang tidak pernah didengari dan ia memberi tekanan pada saya.

“Ini adalah kali pertama saya memasuki pertandingan yang begitu besar. Sebelum ini hanya kecil-kecilan sahaja,” katanya.

Malam itu menyaksikan peserta 24 tahun ini tersingkir apabila mendapat markah terendah berbanding peserta dalam kumpulan lima program itu.

Selain Shima, One dari kumpulan Forteen turut menyertai dan mewakili Malaysia dalam pertandingan tersebut. .CC/SA

sumber berita malaysia