Brothers Saman Penganjur Konsert Gagal Bayar

Diposting pada

KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid popular, Brothers akhirnya bertindak memfailkan saman terhadap penganjur Konsert 3 Kejora Bersatu, Kay Event Management & Services.

Ia dilakukan setelah pihak tersebut didakwa gagal menjelaskan baki bayaran persembahan kumpulan itu sebanyak RM37,500, menurut salah seorang ahli Brothers, Yasin Sulaiman dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Pihak Brothers ujarnya telah memfailkan saman itu pada 18 September lalu di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor selepas pihak defendan didapati tidak menghiraukan notis tuntutan yang dihantar pada 28 Julai lepas.

Jelas Yasin, mereka hanya berjaya menerima bayaran RM12,500 kira-kira dua bulan sebelum konsert berlangsung iaitu suku daripada jumlah keseluruhan untuk bayaran persembahan tersebut yang bernilai RM50,000.

“Kami hanya menuntut hak yang sepatutnya menjadi milik Brothers. Namun alasan yang diberikan oleh pihak penganjur bahawa mereka pula tidak mempunyai wang untuk bayar.

“Kami juga mahu membuka mata rakan penyanyi lain yang turut menjadi mangsa penganjur tersebut. Malah, ada pemuzik dan banyak pihak lain turut masih belum menerima bayaran mereka.

“Konsert tersebut sudah setahun berlangsung dan pelbagai cara sudah kami lakukan untuk mendapatkan penjelasan dan menuntut hak kami, “ katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Konsert 3 Kejora Bersatu yang berlangsung pada 7 dan 8 Oktober tahun lepas turut menampilkan kumpulan nasyid, Hijjaz dan Rabbani di Istana Budaya.

Tambah Yasin, pihaknya sering kali bertanyakan soal bayaran kepada pihak penganjur tetapi ada sahaja alasan yang diberikan.

Jelasnya lagi, tindakan ini bukan untuk mengaut keuntungan sebaliknya mahu pihak penganjur bertanggungjawab dan amanah terhadap janji mereka.

“Kali terakhir kami berhubung dengan pihak penganjur adalah pada dua bulan lepas menerusi aplikasi Whatsapp. Selepas itu, pihak tersebut terus menghilangkan diri.

“Kami telah menandatanginsurat perjanjian untuk konsert itu pada 27 Jun 2016. Kami sepatutnya menerima bayaran pendahuluan RM25,000 tetapi hanya menerima separuh daripada jumlah itu,” katanya.

sumber berita malaysia

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *