Isu Nafkah Anak, Elly Mazlein Tetap ‘Keras Hati’

Diposting pada

KEBELAKANGAN ini cerita berkenaan penyanyi, Elly Mazlein atau lebih dikenali dengan Kak Lina Pom Pom dilihat sering mendapat tumpuan pihak media dan peminat.

Bermulalah daripada kisah penceraian dengan pengarah drama, Azmi Mohd Hatta sehingga cerita di pentas Gegar Vaganza yang pernah menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen sebelum ini.

Terbaharu, penyanyi ini dikatakan bertegas untuk menetapkan pendirian diri bagi mempertahan tuntutan nafkah terhadap puteri kesayangannya, Putri Sara Sefhia.

Secara umumnya, ramai yang sudah tahu bahawa Elly membesarkan anaknya secara bersendirian.

Bergelar ‘ibu tunggal’ bukan perkara yang mudah tetapi atas sokongan padu daripada masyarakat dan peminat, dia mampu meneruskan kehidupan.

Susulan itu, Elly berkata sebagai seorang ibu, dia perlu bersikap ‘keras hati’ dalam isu tersebut bagi memastikan hak anaknya itu terpelihara.

“Saya keraskan hati tentang isu berkaitan tuntutan nafkah anak dan ini semua adalah hak anak saya.

“Jadi, kita ikut sahaja apa kata mahkamah dan saya tak mahu mengulas lebih-lebih tentang hal ini,” katanya menurut laporan mStar Online.

Dalam pada itu, perintah membayar nafkah bulanan sebanyak RM1,500 terhadap Putri Sara Sefhia pernah dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Sepang kepada Azmi sekitar 12 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Azmi dikatakan membuat permohonan untuk meminta pengurangan berkenaan pembayaran nafkah tersebut.

Baca: Mana Cukup Dari RM1,500 Minta Kurang RM500? – Elly

Sementara itu, walaupun sering diajukan soalan mengenai jodoh namun pelantun lagu Bunga Bakawali ini mengatakan dia tidak ambil pusing langsung apa orang luar hendak kata.

Malah, penyanyi ini hanya menganggap peminat dan rakan-rakan begitu mengambil berat tentang dirinya kerana ingin melihat dia menjalani kehidupan yang bahagia dengan jejaka idaman.

“Saya tak kisah dengan soalan tentang jodoh dan memahami niat peminat yang mahu melihat saya menemui cinta baru.

“Yang penting kita sendiri lah yang kena pandai memberi jawapan agar tidak melukakan mana-mana pihak dan mungkin itu juga doa mereka untuk saya,” katanya.

Elly Mazlein dan Azmi Hatta berkahwin pada 9 November 2014 sebelum bercerai pada 15 Oktober 2015.

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Putri Sara Sefhia yang kini sudah mencecah usia setahun. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura

sumber berita malaysia

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *