Firman sedia terima kritikan bersama HYPERACT

Diposting pada

SELEPAS bergabung kumpulan Hyperact sejak Julai lalu, Firman Bansir memberitahu memang ada segelintir peminat yang membuat perbandingan dengan dua vokalis terdahulu iaitu Ronnie Hussein dan Kecik.

Firman yang juga merupakan juara Akademi Fantasia 2014 tahu perkara sedemikian akan berlaku. Dia juga cukup sedia menerima setiap komen dan kritikan peminat muzik yang mungkin sukar melihat gabunganntya bersama Hyperact.

“Lumrah dalam dunia seni ini. Pasti ada yang akan memberi komen negatif dan membuat perbandingan kerana setiap orang punya minat tersendiri.

“Perkara sebegini akan berlarutan dan biarlah mereka berkata sehingga merasa bosan. Saya ada peminat sendiri yang sentiasa memberi sokongan.

“Selama empat tahun dalam dunia seni, saya telah melalui banyak perkara selain menyertai pelbagai pertandingan. Pengalaman dahulu menjadikan saya seorang yang matang dan sedia dengan apa juga cabaran.

“Jika anggota Hyperact yang lain yakin dan percaya pada bakat saya, mengapa perlu risau?” Ujar Firman yang sebelum ini popular dengan lagu Dipintumu.

Selain itu Firman juga tidak mahu kemelut dua vokalis Hyperact sebelum ini mengganggu perjalanan kerjaya seninya di masa akan datang. Malah Firman berbesar hati apabila diberi peluang bergabung dengan sebuah band yang punya kedudukan tersendiri dalam industri.

“Saya kenal Ronnie, Kecik dan setiap anggota Hyperact. Kami berkawan baik. Apa yang berlaku sebelum ini adalah masalah peribadi antara mereka dan saya tidak mahu masuk campur.

“Bersama kumpulan Hyperact juga, saya telah membuat beberapa perjanjian. Antaranya saya boleh menerima undangan menyanyi solo, tetapi tidak akan menyanyikan lagu Hyperact sebagai tanda hormat nama kumpulan ini.

“Mereka tidak ada masalah dengan permintaan saya dan apa yang saya lakukan ini supaya tidak akan ada berlaku salah faham di kemudian hari,” jelas Firman.

Terbaharu, kumpulan Hyperact tampil dengan single berjudul Kasih. Mereka kini dalam perancangan menyiapkan single kedua dan bakal muncul dengan album penuh tahun hadapan.

sumber berita malaysia