Idayu Pertama Dapat Standing Ovation Ramli MS

Diposting pada

NAMA Ramli MS memang sangat dikenali dalam dunia hiburan tanah air. Lebih-lebih lagi apabila dia sering dilihat mengetuai orkestra dalam sesebuah persembahan.

Namun, dalam pembabitannya itu, dia sangat serius dan jujur memberikan komen terhadap penyanyi-penyanyi di Malaysia sehinggakan tiada seorang penyanyi lagi yang pernah mendapat standing ovation daripadanya!

Tetapi, pada Ahad lalu sewaktu konsert separuh akhir AF Megastar, Idayu telah menjadi penyanyi pertama yang mendapat pujian secara standing ovation atau tepuk tangan dengan berdiri daripada pemuzik terkenal itu.

Ini kerana lagu yang dipersembahkan bersama penyanyi Azharina menerusi lagu Kerna Ku Sanggup itu sangat memukau sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton.

Idayu yang terharu dengan penghormatan yang diberikan Ramli MS tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata.

“Apabila saya diberi ‘standing ovation‘ oleh Datuk Ramli MS dan dapat tepukan gemuruh daripada peminat membuatkan hati saya sedih.

“Saya tidak dapat menahan air mata mengalir. Tambahan pula, Datuk Ramli kata dia tidak pernah beri tepukan sambil berdiri pada sesiapa.

“Sepanjang karier saya tak pernah dapat sokongan dan pujian seperti itu,” katanya dipetik mStar Online.

Ramli MS juga dilihat seakan-akan menguji kehebatan vokal Idayu apabila memintanya menyanyikan lagu M. Nasir itu tanpa sebarang persediaan.

Mungkin tidak dapat dinafikan yang penyingkirannya pada minggu kelima musim ketiga itu banyak ajar Idayu menjadi penyanyi yang matang sehingga sudah menunjukkan ‘taring’nya pada Konsert Homecoming lagi.

Jadi, ramai pula yang bersetuju dengan kenyataan penyanyi ini bakal memenangi title juara itu. Namun, Idayu tidak ambil mudah dengan kata-kata tersebut dan terus berusaha memberikan yang terbaik setiap minggu.

“Saya tak pernah letakkan diri sebagai juara. Dapat sampai ke peringkat akhir ini pun dah cukup.

“Saya berusaha keras untuk mencapai tahap ini. Daripada saya ini bukan sesiapa, orang tak kenal siapa saya.

“Sekarang saya kena usaha untuk buat orang kenal,” ujarnya.

Selain Idayu, empat lagi peserta yang bakal berentap merebut gelaran juara itu ialah Bob, Marsha, Syamel dan juga Shahir.

Konsert Akhir Af Megastar ini akan berlangsung pada 22 Oktober dan menyaksikan dua lagu yang bakal dinyanyikan oleh setiap peserta. Jadi, all the best untuk semua peserta! .CC/Aisyah Karim

sumber berita malaysia

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *